Wednesday 20 July 2016

Pendidikan Moral- Mengenalpasti Amalan Utama Agama-Agama di Malaysia

Mengenal pasti Amalan Utama Dalam Pelbagai Agama Di Malaysia

Umum mengetahui Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada penduduk yang berbilang bangsa dan agama. Dengan adanya kepelbagaian agama inilah Malaysia menjadi sebuah negara yang unik dan menarik. Mana tidaknya, jika dibandingkan dengan negara lain seperti Amerika Syarikat, negara ini hanya mempunyai tiga jenis agama yang dianuti oleh penduduknya iaitu Islam,Kristian dan Yahudi. Negara kita mempunyai lebih kurang 6 jenis agama yang dianuti oleh masyarakat negara kita. Contohnya seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain. Dengan adanya sikap toleransi dalam diri masyarakat negara kita, kepelbagaian agama ini tidak menjadi penyebab salah faham dan semua perkara negatif yang lain seperti keganasan, peperangan dan sebagainya. Malah, di Malaysia tidak langsung berlaku kesemua perkara negatif ini.
Di negara kita, majoriti penduduk adalah beragama Islam. Oleh itu, Islam menjadi agama rasmi dan agama persekutuan untuk negara kita. Ajaran agama Islam adalah berasaskan Rukun Islam dan Rukun Iman. Terdapat lima perkara dalam Rukun Islam dan enam perkara dalam Rukun Iman. Agama Islam mempunyai dua rujukan utama iaitu kitab suci Al-Quran. Perkataan Islam bermaksud "penyerahan", atau penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah. Seseorang penganut Islam dikenali sebagai Muslim, bermaksud seorang yang tunduk kepada Allah. Muslim percaya bahawa Allah itu Esa dan tujuan hidup ialah untuk menyembah Tuhan. Amalan utama dalam agama Islam ialah solat. Solat terbahagi kepada dua iaitu solat wajib ataupun lebih dikenali sebagai solat fardhu dan juga solat sunat. Terdapat lima waktu solat fardhu yang harus dilaksanakan oleh umat Islam iaitu Solat Subuh, Zohor, Maghrib dan Isyak. Umat Islam wajib melaksanakan solat fardhu kerana solat fardhu merupakan tiang agama. Solat sunat pula seperti solat dhuha, tahajjud dan sebagainya. Solat ini tidak diwajibkan tetapi berpahala jika dilakukan. Dengan mengerjakan solat, umat Islam dapat meningkatkan disiplin dalam diri. Hal ini demikian kerana umat islam perlu patuh kepada suruhan Allah untuk solat. Mereka harus meninggalkan semua perkara dunia seketika untuk mengerjakan solat. Selain itu, umat Islam juga perlu bangun awal pagi untuk mengerjakan solat subuh. Ibadah yang amat dituntut ke atas umat Islam juga ialah mengerjakan solat fardhu di masjid atau suruau terutama kepada kaum lelaki. Terdapat banyak nilai dapat dipupuk melalui solat berjemaah ini. Pertama, umat Islam dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara mereka. Hal ini kerana umat Islam akan berjumpa di masjid atau surau untuk solat berjemaah. Melalui perjumpaan ini, ukhuwah akan terbina maka silaturrahim akan dapat dirapatkan. Selain itu, solat jemaah juga dapat memupuk sifat hormat dan patuh kepada arahan pemimpin. Hal ini kerana dalam solat jemaah, jemaah dilarang mendahului imam. Jemaah perlu mengikut imam. Amalan seterusnya dalam agama islam ialah berpuasa. Berpuasa juga terdapat dua jenis iaitu puasa wajib dan puasa sunat. Umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadhan. Sepanjang waktu berpuasa, umat Islam tidak dibenarkan makan, minum dan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Dengan berpuasa umat Islam dapat meningkatkan sikap sabar dalam diri mereka. Hal ini apabila mereka merasai keperitan hidup orang-orang miskin yang tidak mampu untuk makan dan minum.
Kristian adalah sebuah agama monotheis yang berdasarkan kehidupan dan ajaran-ajaran Jesus dari Nazaret sebagaimana ditunjukkan dalam karya-karya para pengikutnya dalam kitab utama mereka iaitu Holy Bible. Agama Kristian merupakan agama terbesar di dunia. Amalan agama Kristian ialah berkumpul di gereja pada setiap pagi Ahad untuk menyanyikasn lagu-lagu yang memuji-muji kebesaran Tuhan dan Jesus Christ. Perpaduan antara pengganut Kristian dapat dipupuk melalui aktiviti ini. Hal ini demikian kerana. pengganut Kristian akan berkumpul di gereja dan menyanyi bersama-sama. Umum mengetahui bahawa pengganut Kristian di negara kita terdiri daripada pelbagai kaum seperti kaum Cina, India, Iban, Bidayuh dan lain-lain. Sememangnya sukar untuk mencapai perpaduan antara kaum dalam agama Kristian ini tetapi dengan adanya aktiviti seperti ini, perpaduan kaum dapat dicapai. Selain itu, amalan agama Kristian yang seterusnya ialah “giving”. Giving merupakan amalan agama Kristian dalam membantu masyarakat Kristian yang berada dalam kesusahan dan kemiskinan. Dalam konteks agama Islam, giving dikenali sebagai zakat. Giving merupakan amalan wajib bagi pengganut agama Kristian. Setiap pengganut agama Kristian yang sudah bekerja wajib memotong 10% wang daripada gaji mereka untuk didermakan kepada pengganut Kristian yang hidup dalam kemiskinan. Giving merupakan amalan yang mulia kerana amalan ini dapat melahirkan sifat pemurah dalam diri masyarakat Kristian. Hal ini kerana mereka sanggup mendermakan 10% daripada gaji mereka kepada golongan yang memerlukan. Selain itu, amalan ini juga dapat melahirkan perasaan rendah diri dalam diri masyarakat Kristian kerana masyarakat Kristian akan berasa kasihan melihat golongan miskin yang memerlukan bantuan mereka. Amalan ini juga dapat mengikis perasaan tamak haloba dalam diri pengganut Kristian. Hal ini demikian kerana jika tiadanya amalan ini, belum tentu lagi mereka akan mendermakan harta mereka kepada golongan yang memerlukan. Dengan adanya amalan ini, secara automatik mereka telah mendermakan kepada golongan yang memerlukan. Amalan ini sekaligus mampu melahirkan sifat pemurah dalam diri mereka. Amalan seterusnya ialah perayaan Hari Krismas. Hari Natal (Krismas) merupakan perayaan menyambut kelahiran Jesus Christ di Bethlehem yang disambut oleh semua pengikut ugama Nasarani di dunia. Bagaimanapun, kajian menunjukkan Hari Natal bukanlah tarikh sebenar kelahiran Jesus Christ. Perayaan hari Natal bermula dengan menghiasi pokok Krismas di rumah dan di gereja. Ahli keluarga bertukar hadiah pada hari Natal dengan meletakkannya di bawah pokok krismas. Teater Krismas, parti nyanyian keugamaan (Carol) akan diadakan. Derma akan diberikan kepada golongan yang tua dan miskin. Secara tradisi, hadiah akan diberikan oleh Santa Claus kepada mereka yang memerlukan. 
Hinduisme ialah satu agama atau falsafah yang berasal dari benua India dan kawasan sekeliling yang berhampiran. Agama ini adalah agama tertua yang diketahui di dunia. Kitab utama agama ini ialah Veda yang dibahagikan kepada empat kitab utama iaitu Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda. Terdapat lima amalan dalam agama Hindu iaitu Upasana ataupun penyembahan di bilik puja di rumah dan di kuil. Anak-anak yang disayangi diajar untuk bersembayang di tempat pemujaaan di rumah seperti upacara amal, tatatertib, dikir agama, yoga dan pembelajaran agama. Mereka belajar berdikari dengan berbakti di rumah dan kuil, memakai pakaian tradisional, ke arah melahirkan rasa sayang akan Tuhan dan meyediakan minda untuk bertakafur. Seterusnya, Utsava iaitu Hari Suci. Anak-anak yang disayangi diajar untuk mengambil bahagian dalam perayaan dan hari suci di rumah dan kuil. Mereka belajar menjadi kanak-kanak ceria melalui perhubungan yang suci dengan Tuhan pada perayaan yang mulia ini. Amalan pada hari suci ini, termasuklah berpuasa dan menziarahi kuil pada hari Isnin atau Jumaat dan hari-hari suci yang lain. Selain itu, Dharmaialah kehidupan yang mulia. Mereka diajar untuk hidup menjalani kehidupan yang penuh bertanggungjawab dan bertatatertib mulia. Mereka belajar menjadi tidak mementingkan diri dengan memberikan keutamaan kepada orang lain dahulu, menghormati ibubapa, mereka yang lebih tua, dan para pendita, mengamalkan hukum Tuhan terutamanya " ahimsa" iaitu tidak memudaratkan orang lain sama ada secara mental, emosi atau perbuatan. Dengan ini, mereka dapat menebus karma. Sterusnya ialah Tirthayatrai ataupun Ziarah.
Anak-anak yang disayangi, diajar untuk menghargai nilai penziarahan dan mereka dibawa sekurang-sekurangnya sekali dalam setahun untuk menziarahi tempat-tempat suci, kuil, dan orang mulia, yang dekat atau jauh. Dengan ini, mereka belajar mengalpakan hal-hal duniawi dan menjadikan Tuhan dan para guru sebagai tumpuan utama semasa penziarahan suci ini. Akhir sekali ialah Samskara ataupun Upacara Suci. Anak-anak yang disayangi diajar mengamalkan upacara suci yang menandakan dan menyucikan perjalanan hidup mereka. Mereka belajar menjadi tradisional dengan merayakan upacara-upacara suci, termasuk upacara kelahiran, suapan pertama, menindih telinga, pembelajaran pertama, upacara menjadi baligh, perkahwinan dan kematian.
Sebagai kesimpulan, kita hidup di dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama. Kepelbagaian inilah yang menyebabkan kita dilihat sebagai unik dan menarik. 
























Membincangkan Secara Kritis Tentang Nilai-niali Murni Yang Ada Dalam Masyarakat Majmuk Malaysia. 

Penduduk-penduduk Asia sangat dikenali dunia dengan sikap mereka yang lemah-lembut serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Negara kita Malaysia juga merupakan sebuah negara yang terletak di Asia. Jadi kita juga tergolong dalam golongan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Nilai diertikan sebagai satu konsep yang dijadikan asas oleh masyarakat untuk melihat, mengukur atau membuat pilihan terhadap sesuatu perkara, darjat, mutu, kualiti dan taraf perilaku dan benda mengenai seseorang atau kelompok orang sebagai baik, berharga dan bernilai. Nilai-nilai murni penting dalam kehidupan untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kini, bilangan pelajar di negara kita sejumlah 5 juta orang, jika tidak diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak di bangku sekolah maka mereka akan menjadi generasi yang akan merugikan negara pada masa kelak. Hal ini kerana, nilai-nilai murni akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia. Terdapat banyak nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara kita.
Nilai murni yang ada dalam masyarakat majmuk Malaysia ialah nilai hormat-menghormati. Nilai hormat-menghormati ini penting bagi rakyat Malaysia kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Setiap rakyat Malaysia mesti menghormati budaya, adat resam, dan agama kaum lain.Tidak dapat dinafikan sikap hormat-menghormati amat penting kerana dengan sikap hormat-menghormatilah kita mampu hidup sebagai sebuah keluarga yang aman walaupun terdapat pelbagai kaum dan agama di dalamnya. Umum mengetahui kesan sekiranya kita tidak mengamalkan sikap hormat-menghormati. Ramai di antara kita masih ingat peristiwa berdarah di negara kita iaitu Peristiwa 13 Mei. Ramai rakyat Malaysia terkorban dalam peristiwa ini apabila berlakunya pergaduhan besar antara dua kaum dalam negara kita iaitu kaum Melayu dan kaum Cina. Peristiwa berdarah ini terjadi hasil daripada kurangnya nilai hormat-menghormati dalam diri masyarakat Malaysia. Sesungguhnya, sikap hormat-menghormati ini akan dapat memupuk perpaduan kaum dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman.
Seterusnya, nilai yang terdapat dalam masyarakat majmuk di Malaysia ialah nilai amanah. Orang yang mengamalkan nilai amanah akan mempunyai harga diri yang tinggi. Sikap amanah juga dapat menjadikan kita disukai oleh orang lain kerana orang yang amanah tidak akan melakukan perkara yang negatif seperti mencuri dan rasuah. Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, nilai amanh sangat penting dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, kaum Melayu diberikan amanah dalam memegang tampuk pemerintahan negara. Jadi kaum Melayu haruslah bersikap amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Perkara negatif yang bertentang dengan nilai amanah seperti rasuah haruslah dielakkan. Kajian mendapati kadar jenayah rasuah di negara kita turun sebanyak 20% jika dibandingkan pada tahun 2010. Hal ini telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah telah mengamalkan nilai amanah dalam kehidupan mereka. Jika semua rakyat mengamalkan nilai amanah, pasti negara kita akan bertambah maju dan disukai oleh pelabur asing.
Di samping itu, nilai yang paling penting dalam mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara kita ialah nilai patriotisme. Nilai ini sebenarnya ada dalam diri setiap warga Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Permasalahannya ialah segelintir warga Malaysia tidak mengamalkan nilai ini. Namun hanya segelintir sahaja kerana majoriti masyarakat majmuk mengamalkan nilai ini dalam kehidupan mereka. Nilai patriotisme atau semangat cinta akan negara ini sepatutnya diamalkan oleh semua warga Malaysia. Amalan nilai patriotisme ini akan menjadikan negara Malaysia terus merdeka dan aman. Jika ada musuh yang ingin menakluki negara, kita akan menentang musuh itu dengan sepenuh jiwa dan tenaga. Hal ini demikian kerana dengan adanya nilai patriotisme, telah tertanam dalam diri kita satu perasaan ingin berkorban demi mempertahankan negara. Terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan masyarakat majmuk di negara kita mempunyai dan mengamalkan nilai patriotisme ini. Contohnya, pada setiap malam 31 Ogos kita dapat melihat ribuan warga Malaysia tanpa mengira bangsa berkumpul untuk meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia. Semuanya membawa Jalur Gemilang tanda kemegahan serta kebangaan menjadi rakyat Malaysia. Selain itu, kita juga dapat melihat rakyat Malaysia memenuhi stadium ketika perlawan bolasepak melibatkan pasukan Malaysia menentang negara lain. Tanpa mengira bangsa, rakyat Malaysia memenuhi stadium untuk memberikan sokongan yang padu kepada pasukan Malaysia. Selain bolasepak, kita juga dapat lihat betapa ramainya warga Malaysia di gelanggang badminton akhir All England dalam perlawanan yang melibatkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan pemain badminton China, Lin Dan. Walaupun Datuk Lee Chong Wei berbangsa Cina, namun warga Malaysia tanpa mengira Melayu, Cina atau India tetap turun ke gelanggang untuk memberikan sokongan yang penuh kepada beliau. Sememangnya nilai patriotisme amat perlu dalam mengekalkan kemerdekaan negara kita. 
Selain itu, nilai lain yang terdapat dalam masyarakat majmuk di Malaysia juga ialah nilai kerajinan. Nilai ini sangat penting bagi masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana misi dan cita-cita pemimpin negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya pada tahun 2020 bergantung kepada nilai kerajinan ini. Nilai ini membolehkan produktiviti dan sumbangan yang tinggi individu kepada pembangunan negara. Umum mengetahui asyarakat di negara kita kebanyakannya mempunyai nilai kerajinan yang sangat tinggi. Buktinya, telah ramai professor-professor dari Malaysia telah mendapat pengiktirafan daripada universiti-universiti terkemuka dunia kerana kerajinan mereka dalam menjalankan penyelidikan. Selain itu, kita juga dapat lihat ramai ahli perniagaan yang telah berjaya menembusi pasaran dunia hasil daripada nilai kerajinan yang mereka amalkan. Namun, realitinya sedikit menyedihkan apabila fakta menunjukkan terdapat segelintir  warga Malaysia terutamanya pemuda-pemudi negara yang tidak mengamalkan nilai kerajinan dalam hidup mereka. Buktinya, terdapat pemudi yang lebih memilih untuk menganggur selepas menerima ijazah daripada bekerja. Alasan mereka ialah kerja yang ditawarkan tidak sesuai dengan mereka. Punca utama mereka menganggur sebenarnya ialah malas. Mereka tidak mengamalkan nilai kerajinan dalam hidup mereka. Nilai kerajinan ini dapat dipupuk dengan menggunakan kaedah yang berkesan, teknologi yang dapat memudahkan kerja dan dapat mempertingkatkan pengeluaran. Golongan muda perlu mempunyai nilai kerajinan bagi menentukan masa depan dan kehidupan mereka lebih baik dan terjamin. Kemiskinan dan kemunduran yang mencengkam kehidupan sebahagian warga Malaysia boleh ditangani dengan berkesan sekiranya kita mempunyai nilai kerajinan yang tinggi. Untuk mengubah negara kita menjadi negara maju, kita perlu berusaha dengan gigih serta perlu rajin dalam mencari pelbagai idea untuk membangunkan negara. Tidak ada jalan singkat bagi kita untuk mencapai kejayaan dan juga kemajuan. Kejayaan yang dicapai hasil daripada kerajinan dan daya usaha mempunyai nilai yang tinggi kerana pelajaran yang diperoleh bagi menghadapi cabaran dan rintangan. 

Tuntasnya, terdapat banyak nilai murni yang ada dalam masyarakat majmuk di negara kita, Malaysia. Namun tidak semua daripada kita yang mengamalkan nilai-nilai murni ini. Oleh yang demikian semua pihak haruslah berusaha bersungguh-sungguh dalam memupuk nilai murni dalam diri semua masyarakat Malaysia.

No comments:

Post a Comment