Tuesday 19 July 2016

Cerita Seram Urban Legend Malaysia




Cerita #1

JALAN TIMAH TASOH, PERLIS

Timah Tasoh merupakan empangan terbesar di negeri Perlis yang membekalkan air kepada hampir seluruh kawasan di negeri ini. Setiap yang melalui jalan Timah Tasoh sememangnya tertarik dengan keindahan empangan ini. Pihak pengurusan telah membina sebuah hentian sebelah yang lengkap dengan kemudahan bilik air, restoran dan lain-lain untuk menarik  perhatian pengunjung supaya berhenti seketika menikmati keindahan Timah Tasoh. Melalui hentian sebelah ini, setiap pengunjung dapat melihat dengan jelas empangan Timah Tasoh yang terbentang luas. Flora dan fauna menambahkan lagi keindahan empangan ini.

Namun, situasi berbeza di sepanjang jalan ini tatkala malam menjelma. Keindahan empangan ini seolah-olah lenyap sebaik sahaja siang melabuhkan tirai. Keadaan sunyi ditemani gelap-gelita menyusuri perjalanan sepanjang melalui jalan empangan ini pada waktu malam. Sebenarnya sudah banyak perkara yang terjadi kepada pemandu-pemandu yang melalui jalan ini pada lewat malam. Pernah sekali dengar cerita seorang pemuda yang memandu berseorangan di jalan ini memberhentikan keretanya secara tiba-tiba kerana ternampak seekor ular tedung melintasi jalan. Kalau ular tedung biasa tidak mengapa. Ular tedung yang dijumpai ini berkepala tiga. Terkejut pemuda tersebut hingga menyebabkan dia memberhentikan kenderaan di tengah-tengah jalan raya bagi memberikan ruang kepada ular tersebut untuk melintas. Dalam beberapa minit, ular tersebut ghaib dari pandangan. Mungkin hanya ular biasa yang dijadikan Tuhan sebegitu. Mungkinlah.

Satu lagi urban legend yang menjadi bualan hangat warga Perlis tentang jalan ini ialah nenek tua minta tumpang. Tidak dinafikan memang banyak kenderaan di jalan ini kerana jalan ini merupakan penghubung ibu negeri Kangar dan Padang Besar yang menjadi tempat tumpuan pelancong di negeri ini. Namun jalan ini menjadi sunyi bermula jam 9 malam  ke atas kerana jarang sekali orang ke padang Besar pada lewat malam. Pada waktu ini, jalan Timah Tasoh menjadi sangat sunyi dan gelita. Jika ada kereta pun mungkin sebuah dua sahaja yang menuju ke Padang Besar dari Kangar. Salah seorang penduduk kawasan Padang Besar yang hanya ingin dikanali sebagai Hamat berkongsi cerita tentang penglaman aneh beliau bersama isterinya  di jalan Timah Tasoh dalam perjalanan pulang mereka dari Kangar ke Padang Besar.

Mereka melalui jalan ini sekitar jam 10 malam. tiada langsung kenderaan lain di atas jalan tersebut. Hanya mereka bertemankan sunyi dan gelita malam. Jalan Timah Tasoh ini memang gelap. Mereka hanya mengharapkan lampu kereta sebagai petunjuk jalan. Hamat memasang lampu pada level high beam untuk memudahkan penglihatan. Namun idea itu ada keburukannya apabila dia terlihat seorang wanita tua kira-kira 10 meter di hadapan mereka. Wanita tua itu melambai-lambai mereka untuk meminta tumpang. Hamat tetap meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan wanita tersebut. Isterinya tercengang dengan tindakannya. Namun, Hamat hanya diam seribu bahasa dan meneruskan perjalanan sehingga sampai ke rumah. Ketika hendak keluar dari kereta Hamat terperasan sesuatu di tempat duduk belakang kereta mereka. Terdapat sebatang kayu seperti tongkat terletak betul-betul di atas tempat duduk belakang kereta. Begitulah urban legend Jalan Timah Tasoh ini. Sekiranya kita tidak memberi tumpang kepada ‘nenek’ sudah pasti dia akan meninggalkan ‘sesuatu' kepada kita. Urban legend ini sangat terkenal dalam kalangan penduduk Padang Besar sehingga sering menjadi buah mulut penduduk di sini. 






































1 comment: